Fahami Gerak Badan Kucing Anda

Fahami Gerak Badan Kucing Anda

Pemikiran kucing sememangnya sangat sukar untuk difahami. Namun, tahukah anda bahawa kucing anda selama ini meluahkan perasaannya dan menyampaikan emosi melalui gerak badannya? 

Sebenarnya, anda boleh membaca pemikiran kucing anda dan memahami apa yang cuba disampaikan dengan pengetahuan mendalam tentang maksud gerak badan kucing anda. Oleh itu, mudahlah untuk anda mengendalikannya dengan baik serta dapat memupuk hubungan antara anda dan kucing. 

Di dalam artikel ini, saya akan mengupas tentang makna dan emosi di sebalik gerak badan kucing anda.

 selective focus photography brown cat lying over black cat

 

Sedang santai dan berbahagia

Di ketika ini, pasti anda telah memenuhi segala keperluan, kasih sayang dan keselesaan untuk kucing anda sehingga menjadikan ia bahagia. Sebenarnya, perlakuan kucing yang sedang gembira dan bahagia sangat mudah untuk dikenalpasti.

  • Berbaring menunjukkan perutnya dan bergolek-golek menunjukkan ia sedang relax. Malahan, sekiranya mereka berbaring sambil mendepangkan kakinya menunjukkan mereka sangat gembira. Gambar berikut adalah contoh perlakuannya.
  • Ketika duduk menghadap ke hadapan pula, kakinya akan tersisip rapi di bawah.
  • Matanya pula berkedip lembut dan separuh tertutup ketika bahagia dan senang. Selain itu, perlakuan ini juga menunjukkan yang mereka sayangkan kita. Cuba membalasnya dengan kerdipan juga ya.
  • Tubuh, telinga dan misainya juga kelihatan santai dan tidak ditegangkan.
  • Ekornya pula akan menegak ikal ke atas ketika berjalan kerana berasa confident.
  • Selain itu, sekiranya kucing berjalan sambil menyapa anda dengan selamba, ini bermaksud mereka mempercayai anda.

 

 

Sedang fokus

Kucing sebenarnya adalah haiwan yang sangat pandai memburu. Ketika memburu, kucing akan memberikan perhatian 100% kepada mangsanya. Perlakuannya akan seperti berikut;

  • Membuntangkan matanya ke arah target.
  • Tubuhnya merendah ke lantai.
  • Kadang-kadang telinganya merendah ke paras kepala.
  • Manakala, ekornya pula ditegangkan ke belakang seperti sedang bersiap sedia untuk berlari dan mengejar mangsa.

 

 

Sedang kecewa

Tahukah anda bahawa kucing anda pun boleh merasa kecewa apabila tidak dapat mencapai permainannya? Sekiranya kucing anda menunjukkan kekecewaan ini dalam jangka masa yang panjang, segeralah bawa kucing anda berjumpa dengan doktor haiwan supaya anda dapat merawat dan mengembalikan kebahagiaan kucing anda. Jadi, mari kita selami perlakuan yang menunjukkan kucing anda sedang kecewa.

  • Sekiranya kucing anda kecewa kerana tidak dapat mencapai permainannya, ia akan memusatkan perhatiannya kepada objek yang memberi kekecewaan padanya itu dalam jangka masa yang lama.Oleh itu, Sila memberi mainan yang mudah dicapai oleh si kucing anda seperti berikut.
  • Matanya akan terbuka dan kelihatannya seperti sedang termenung.

Kebiasaannya, rasa kecewa kucing ini tidak lama kerana mereka akan berputus asa dengan permainan tadi. Namun, ada juga kucing yang sensitif yang menjadi sangat kecewa sehingga kemurungan. 

Kucing yang kemurungan dalam jangka masa yang lama akan menjadi lesu, tidak aktif, kurang selera makan, kurang bermain dan tidak berinteraksi dengan anda.

 

 

Sedang cemas

Kucing adalah haiwan yang mudah cemas terhadap perubahan yang berlaku secara tiba-tiba, pertemuan dengan manusia dan haiwan yang baru serta ketika mendengar sesuatu yang sangat kuat. Dengan memahami perlakuan mereka ketika ini, pasti anda akan dapat menenangkan mereka. Hal ini demikian kerana, di ketika ini kucing anda benar-benar memerlukan perhatian dan minta ditenangkan. Mari kita lihat bagaimana perlakuannya.

  • Mata kucing anda akan terbuka dengan luas dan tidak berkedip
  • Telinga mereka mengimbas banyak kali dan misai ditarik ke belakang.
  • Kepalanya ditundukkan dan tubuhnya dikecutkan umpama sangat cemas dan ingin mengecil.
  • Ekornya pula akan menurun dan bergerak secara perlahan-lahan menunjukkan mereka berasa tidak selamat dan sangat cemas.
  • Di saat ini juga, kucing anda berlari dan bersembunyi untuk mencari tempat yang lebih selesa dan selamat.

Untuk mengurangkan keadaan ini bagi jangka masa yang lama, sila cuba Feliway yang akan membantu menyebarkan pheromones yang terbukti akan mengubah keadaan sekeliling dan si kucing anda akan berasa lebih tenang.

 

 

Sedang ketakutan

Perlakuan kucing ketika cemas dan takut adalah berbeza sekali. Ketika kucing anda sedang ketakutan, sebaiknya jangan terus meluru menenangkannya kerana berkemungkinan di ketika ini ia menganggap anda satu ancaman.

Kucing berada dalam ketakutan hanya akan kembali tenang apabila mereka mula berasa selamat. Jika ketakutan menjadi lebih serius atau kerap berlaku, anda dinasihatkan untuk membawa kucing anda berjumpa dengan doktor haiwan. Berikut adalah perlakuan kucing yang sedang dalam ketakutan;

  • Telinga diratakan ke paras kepala atau ditusukkan ke dalam.
  • Matanya terbuka luas dan tidak berkedip.
  • Menggebukan bulunya.
  • Ekornya dilempiaskan ke kiri dan kanan dengan laju.
  • Mereka melarikan diri.
  • Mereka mendesis dengan geram.

 

white cat on fence

Sedang marah

Apakah punca yang menyebabkan kucing anda marah?

Kucing yang marah berkemungkinan kerana tidak suka cara manusia mengendalikan mereka. Sebagai contoh, anak anda dicakar dan digigit kucing kerana dia menarik ekor kucing anda. Dalam kes ini, kucing sebenarnya cuba meluahkan rasa sakit dan marahnya melalui cakaran dan gigitan tadi yang memberi maksud ‘ Tolong hentikan perlakuan seperti itu kepadanya.’

Kadang-kadang anda juga dicakar ketika mengusap kucing anda terutama sekali dengan kucing jantan kan. Cakaran ini sebenarnya bermaksud supaya anda berhenti mengusapnya.

Namun, ada juga sesetengah kucing yang tidak terus menyerang tetapi mereka akan berderam dan merengus kemarahan.

Sekiranya kucing anda di dalam keadaan marah, cuba jauhkan diri daripadanya. Selain itu, elakkan menatap matanya, menjerit kepadanya, atau menyentuh mereka. 

Oleh itu, pentingnya disini untuk anda memahami perlakuan kucing anda agar dapat mengendalikan mereka dengan lebih selamat.

  • Kucing akan merenung tajam kepada anda dan menjauhkan diri ketika anda cuba untuk mendekatinya. Tatapan langsung tersebut juga membawa maksud kucing berasa terancam dan tidak selesa.
  • Kucing menderam dan merengus geram kepada anda. 
  • Bulu tubuh dan ekornya menegak.
  • Kadang-kadang mengeluarkan kukunya.
  • Tubuhnya kelihatan kaku, misainya kebelakang dan ekornya kaku melurus ke atas.

 

 

Sedang merasa tenang/lega

Apabila rasa marah, cemas dan takut kucing anda mulai menghilang, ia akan kembali kepada keadaan santai tadi dan menunjukkan rasa kelegaan dan ketenangan. Ketika ini, bolehlah anda cuba untuk mendekati dan memujuknya. 

  • Kucing akan melakukan regangan seperti melepaskan ketegangan yang dirasainya tadi. Contohnya, mereka akan mencakar, mengeliat, dan menjilat tubuh mereka. Gambar berikut adalah contoh kucing anda sedang melepaskan ketegangannya.
  • Tubuh, telinga dan misainya kembali kelihatan santai.
  • Mengerdipkan matanya perlahan, merendahkan wajahnya dan sesekali menguap.

Jadi, berikut merupakan jenis-jenis gerak badan kucing anda yang menggambarkan beberapa emosinya. Justeru, selepas ini pasti mudah untuk anda lebih memahami dan menyelami perasaan kucing anda agar dapat mengendalikan mereka dengan lebih baik dan selamat. Untuk menggembirakan  kucing anda lagi jangan lupa untuk belanja treats!






0 comment