6 Sebab Kucing Berhenti Menggunakan Kotak Litter

6 Sebab Kucing Berhenti Menggunakan Kotak Litter

 

Apabila masuk sahaja ke dalam rumah, hidung anda terhidu sesuatu bau yang tidak enak. Bila diperiksa, rupa-rupanya kucing anda telah membuang najisnya di bawah sofa dan almari. Kotak litter sudah pun disediakan. Malahan, selama ini sememangnya kucing anda membuang najisnya di kotak litter, tetapi kali ini ia membuang najisnya bersepah. Kenapa ya?

Hal ini merupakan masalah paling besar bagi pemilik kucing. Malah, bukan mudah untuk menghilangkan bau najis kucing ini, lebih-lebih lagi jika ia membuang najisnya diatas fabrik seperti sofa dan karpet. Bahkan sehingga ada diantara pemilik yang bertindak membuang kucing mereka kerana tidak tahan dengan kerenahnya yang asyik membuang najis di merata-rata tempat. 

Namun, kami nasihatkan agar anda jangan bertindak terburu-buru dan cepat berputus asa dengan kucing anda. Cari dahulu punca-punca kucing anda berkelakuan sedemikian. Oleh itu, berikut adalah sebab-sebab yang boleh anda kena pasti agar anda tidak bertindak memarahi, memukul atau terus membuang kucing anda.

 

1. Kekurangan pasir di dalam kotak litter

Kucing anda tidak membuang najis di kotak litter berkemungkinan kerana pasir di dalamnya sangat sedikit. Kucing memerlukan pasir yang lebih banyak untuk menimbuskan najisnya. 

Oleh itu, sediakan jumlah pasir yang mencukupi seperti yang disarankan produk pasir yang anda beli. 

 

2. Saiz kotak litter

Manalah tidaknya kucing anda itu membuang najisnya di tempat lain, kotak litternya sangat sempit dan tidak selesa untuk digunakan. Cuba anda lihat, mungkin anda tidak pernah menukar kotak litter kucing anda yang digunakan sejak ia kecil.

Tubuhnya sudah semakin membesar, jadi sangat penting untuk anda menukarkan kotak litter kepada yang lebih besar bersesuaian dengan tubuhnya. Seterusnya, selepas menukar size kotak litter, latih ia membuang di kotak litter barunya. Kucing anda pasti akan berasa selesa dan tidak lagi membuang najis di merata-rata tempat.

 


3. Si kucing tak suka jenis atau bau litter

Kucing tidak membuang najis di kotak litter berkemungkinan kerana ia tidak suka dengan tekstur atau bau pasir tersebut. Contohnya, pasir wangi sering menjadi pilihan utama pemilik kucing. Namun, tahukah anda bahawa kucing anda sensitif kepada bau itu? Kucing memiliki deria bau sebanyak 14 kali ganda lebih baik dari manusia. Oleh itu, berkemungkinan pasir yang anda pilih memberi gangguan kepada saluran pernafasan kucing anda. Maka, ia tidak mahu membuang najis di situ.

Terdapat pelbagai jenis pasir yang dijualkan di pasaran dan pemilihan pasir kucing ini bergantung kepada pasir yang disukai kucing anda serta baik dan bersesuaian dengan bajet anda. Justeru, kaji dahulu jenis-jenis dan kualiti pasir kemudian cuba pek kecil dahulu dengan kucing anda sebelum membeli pek yang besar. Berikut adalah contoh produk litter tanpa haruman yang sesuai untuk kucing anda.

 


4. Kotak litter kotor

Kucing ini adalah haiwan yang bersifat pembersih. Oleh itu, kucing akan berasa tidak selesa sekiranya di dalam kotak litter terdapat banyak najis.

Oleh itu, sangat penting untuk anda membuang najisnya sekurang-kurangnya dua kali sehari. Di samping itu, cuci serta ganti pasirnya selalu dan sesekali boleh juga menjemur kotak litter di bawah matahari. Sebagai alternatif yang menjimatkan anda boleh menggunakan serbuk pewangi litter anda yang akan mengembalikan kesegaran litter yang boleh memanjangkan jangka guna litter si kucing anda. Berikut adalah contoh produk di pasaran yang handal untuk menjaga kesegaran litter.

 

5. Si kucing tak suka lokasi kotak litter atau berasa terancam

Ada dua perkara yang perlu anda ketahui tentang lokasi kotak litter untuk kucing anda.

  • Jangan kerap menukar lokasi kotak litter.

Hal ini demikian kerana, kucing tidak suka kepada perubahan. Lebih-lebih lagi dengan perubahan secara mendadak. Sekiranya perlu, anda perlu menukarkannya secara berperingkat, serta lokasi yang dipilih tidak jauh dari lokasi asal. Kemudian, sentiasa tunjukkan kepadanya lokasi baru kotak litternya sehingga ia terbiasa.

  • Pilih lokasi kotak litter yang selamat bagi kucing anda.

Kucing memerlukan masanya sendiri ketika membuang najis, jadinya ia amat memerlukan lokasi yang selamat dan jauh dari ancaman haiwan lain. Kucing lebih sukakan lokasi yang luas dan lapang untuk membuang najisnya agar ia mudah untuk mengesan musuh yang akan menyerangnya ketika membuang najis. Elakkan meletakkan kotak litternya di lokasi tertutup dan sempit.  

Di samping itu, kucing juga akan berasa terancam apabila adanya kehadiran kucing baru. Lebih-lebih lagi, jika kucing baru tersebut menggunakan kotak litternya, maka ia menunjukkan tanda protes dengan membuang najis di tempat lain. 

Oleh itu, sentiasa sediakan kotak litter yang mencukupi untuk kucing-kucing anda. Sekiranya anda memelihara 2 ekor kucing sebaiknya sediakan 2-3 kotak litter.

 

6. Masalah kesihatan

Kucing anda berkemungkinan mempunyai masalah kesihatan sekiranya ia membuang najis di merata-rata tempat. Perhatikan jika najisnya cair, berair dan berdarah, maka segeralah bawa ia berjumpa dengan doktor haiwan untuk mendapatkan rawatan.

Masalah-masalah kesihatan seperti ini boleh berpunca daripada;

  • Terlebih makan.

Hal ini boleh terjadi kepada anak kucing atau kucing dewasa. Oleh itu, sediakan makanan kucing anda secukupnya dan jangan berlebihan.

  • Pemberian makanan yang tidak bersesuaian

Bukan semua makanan sesuai dengan kucing anda. Contoh makanan yang mesti anda hindarkan dari mereka adalah coklat dan gula-gula, telur mentah, bawang merah, bawang putih, kucai, kekacang serta anggur dan kismis. Pengambilan makanan seperti ini akan menganggu sistem pencernaan kucing anda. Malah, ia juga akan mengakibatkan cirit birit dan muntah-muntah.

Seterusnya, anda juga perlu tahu bahawa pemberian susu juga akan menganggu pencernaan kucing anda. Pastikan anda memberi anak kucing anda susu yang mempunyai kandungan laktosa yang rendah seperti susu kucing, susu kambing dan susu bayi rendah laktosa.

  • Keracunan

Keracunan terjadi apabila makanan yang anda berikan kepada kucing anda telah dicemari. Ini boleh berlaku apabila anda sering membeli makanan dalam pek yang besar tetapi tidak menyimpannya dengan baik. Oleh itu, tutup dan simpan makanan anak kucing anda ditempat yang bersih agar kekal selamat.


Selain itu, jangan gunakan makanan lama atau makanan yang tidak habis dimakan semalam. Tukarkan sentiasa dengan makanan baru. Hal ini demikian kerana kemungkinan makanan lama telah dijangkiti bakteria.

  • Jangkitan cacing parasit

Sekiranya anda membiarkan kucing anda bermain di luar rumah, ini akan lebih mendedahkan ia kepada jangkitan cacing parasit. Hal ini dapat dikenalpasti melalui najis kucing anda yang berlendir dan berdarah. 


Justeru, jangan khawatir kerana setiap penyakit ada ubatnya. Bawalah kucing anda ke klinik veterinar untuk mendapat rawatan dan nasihat dari doktor agar kucing anda kembali aktif, sihat dan kuat.






0 comment